WhatsApp Boleh Digunakan Pada Empat Peranti Pintar Serentak Tidak Lama Lagi

104

Satu ciri yang diinginkan oleh pengguna WhatsApp ialah sokongan menggunakan aplikasi pada lebih dari satu peranti pintar pada satu-satu masa. Pada waktu ini sekiranya peranti baharu diaktifkan, akaun WhatsApp di peranti lama akan terus di log keluar.

Mark Zuckerberg dan juga ketua bahagian WhatsApp, Will Cathcart kini telah mengesahkan kepada pihak WABetaInfo, yang mana WhatsApp  akan memperkenalkan sokongan ciri multi-peranti tidak lama lagi.

Dengan ciri ini, ia akan membolehkan anda mengakses perbualan dan akaun WhatsApp anda pada peranti berbeza – dengan akses kepada sehingga 4 peranti pada sesuatu masa.

Dengan langkah ini, anda tidak perlu memastikan akaun anda sedang aktif pada telefon utama – seperti pada hari ini. Sebaliknya, pengguna boleh menggunakan akaun WhatsApp pada peranti-peranti berbeza dengan mudah.

Zuckerberg dipetik mengatakan langkah ini adalah salah satu cabaran teknikal tinggi bagi mereka, memandangkan mesej tidak disimpan di awanan – berbeza dengan Telegram dan lain-lain. WhatsApp mengatakan mereka akan mengekalkan sokongan penyulitan penuh – sekaligus memastikan privasi pengguna terjamin.

WhatsApp dijangka memulakan ujian beta untuk ciri ini dalam beberapa bulan lagi.

Leave A Reply

Your email address will not be published.